Friday, June 8, 2012

Tentang Dia...

Bercerita tentang dia, aku rasa macam dia masih ada. Puteraku satu-satunya. Sekadar luahan rasa, berkongsi cerita suka dan duka aku bersamanya. Untuk kenangan diriku sendiri...aku pasrah dengan takdir Illahi, meminjamkan dia seketika kepada kami untuk merasa nikmat dan bahagia... berpeluang memeluk dan memanjakan seorang anak lelaki yang kami tunggu selama ini. Walau seketika, ia sungguh bermakna.
Aku tidak berbohong tentang rasa yang ada dalam dadaku. Aku hanya manusia biasa, sedih.. perit, sebak, sakit, bermacam rasa ada dalam gelora jantungku. Aku telah kehilangan dia, selama-lamanya! Itu yang pasti. Namun aku telah sematkan dalam hatiku sekian lama, anak-anak hanya sekadar pinjaman, usia adalah masa, tiba ketika atas kehendakNya terpaksa dikembalikan. Suka atau tidak wajib kita meredhainya.
Senang lidah berbicara, benarkah hatiku redha? Ya Allah, ampuni hambamu ini kerana pernah terlebih meminta. Bukan kerana aku tidak bersyukur tetapi sekadar memohon lebihkan masa untuk terus bersamanya. Namun aku juga sedar Allah lebih menyanyanginya melebihi kasih sayangku terhadap dia. Anakku, Ammar Amzar telah dijemput Ilahi dalam usianya 4 tahun 7 bulan 28 hari... Ya Allah, aku bersyukur dikurniakan dia kepadaku. Sungguh bermakna kepada kami sekeluarga walaupun sebelumnya kami sudah memiliki 3 puteri.
Ammar Amzar nama yang ku simpan sekian lama dalam diari hati setelah satu demi satu kami menimang cahaya mata puteri. Nama itu ku pilih sendiri seawal memiliki puteri sulungku, 14 tahun yg lalu. Ku simpan kemas sehingga akhirnya 13 SEPTEMBER 2007 = 1RAMADHAN aku telah selamat melahirkan dia bersama suamiku di sisi. Walaupun sebelum ini suamiku tidak pernah berkesempatan untuk menemani ku kerana masalah teknikal dengan jururawat, namun untuk kelahiran putera kami satu2nya ini, dia ada bersama untuk terus mengazankan dia di hadapan ku disaksikan oleh para jururawat dan doktor yg menyambutnya. Alhamdulillah, percubaan kali ke empat, Allah memakbulkan doa kami untuk memiliki seorang bayi lelaki! Kasih sayang melimpah ruah, di samping kami, ada 3 kakak yang sangat menyanyanginya serta ahli keluarga kami yang lain.
Majlis cukur jambul disempurnakan di Masjid Pulau Melaka oleh TG Nik Abd Aziz Nik Mat, dalam keadaan sederhana namun penuh keberkatan. Dilaksanakan Majlis Aqiqah agak meriah dengan kehadiran sanak saudara, jauh dan dekat. Ya Allah, hati kami sangat bersyukur dengan kurniaanMu in Ya Rabbi. Dia anak yang baik, tidak menyusahkan lami walaupun se awal usia 3 bulan telah kami usung ke sana sini kerana pada ketika itu kami menyambung study di USM Pulau Pinang. Setiap hujung tahun kami sekeluarga menjadi warga kampus USM sehinggalah usianya 3 tahun 3 bulan kami berjaya menerima segulung ijazah.
Usianya yang baru setahun jagung tetapi telah kami bawa ke merata tempat kerana sememangnya kami sekeluarga pantang ada masa, kerjanya berjalan makan angin. Penang, Cameron Highland dan Langkawi adalah tempat yang kerap kami kunjungi selain Bukit Tambun Water Park dan juga Gambang Waterpark. Kami tidak pernah tinggalkan dia walaupun seketika. Tempat tidurnya adalah di sisiku sehingga dia pergi mengadap Ilahi, dia ku ulit seperti selalu. Ku dodoikan dia dengan selawat syifa' dan ku bacakan doa yang sering kami baca bersama. Namun tidurnya kali ini, tidur yang abadi dan tidak akan bangun lagi seperti hari2 sebelum ini.

(bersambung)