Sunday, October 7, 2012

Selamat Tinggal Cinta


 Dalam senyum yang ranum
kau hulurkan salam sebuah perpisahan
tenang kau menguntum bicara

aku terlena dalam diam
mimpikah atau sekadar sebuah rasa
bertafakur seketika

saat itu pun tiba
ada manik jernih di kolam kasihmu
menghantarku jauh dari nyata

aku genggam tangan halusmu
untuk terakhir kali
ku bisikkan rindu yang tak berlagu

Sebuah Kehilangan!

menunggu dengan seribu debaran
 tentang sebuah permulaan yang diimpikan
 setelah merasi nikmat sebuah kehilangan!

Warna-warna kehidupan

Hari2 berlalu tanpa kita sedari ...usia telah meningkat tinggi dan sudah bersediakah kita untuk mati? Tanya pada diri sendiri apakah diri dipenuhi dengan iman dan amal?
Begitulah manusia, selalu lupa untuk melakukan yang terbaik untuk dirinya dan masih mementingkan orang lain. Benarkah begitu yang seharusnya berlaku? Aku sendiripun tak tahu... Kata orang ikut rasa binasa, ikut hati mati.. tapi bagiku kita harus penuhi apa yang seharusnya kita perolehi untuk memuaskan hati sendiri...terlalu banyak berkorban untuk orang kadang-kadang akan memakan diri sendiri... buat apa yang kita rasa itu perlu selagi ianya 'halal' untuk dilakukan dan semestinya tidan akan memudaratkan sesiapa...
sesekali menekan huruf2 begini..mengingatkan kembali kenangan semasa berada di maktab dahulu... bertemankan mesin taip, aku menyiapkan tugasan yang diberi dan masih ada masa lagi untuk aku mengarang bait2 puisi....zaman remaja sebegitu semestinya banyak kenangan manis yang tersimpan oleh setiap insan...bohonglah jika aku katakan aku tidak tergolong dalam golongan itu...manis ketika dipuja, pahit bila terluka dan bahagia bila dapat bersama...rencah kehidupan yang normal bagi setiap remaja dan tidaklah sesuatu yang luarbiasa jika setiap insan dianugerahkan perasaan yang sebegitu..
sehingga kini kenangan2 itu tetap segar dalam ingatanku dan tidak salah aku untuk terus mengenangkannya kerana aku telah menjadi diriku seperti hari ini kerana aku telah lalui hidupku dengan cemerlang sekali...pahit, manis aku tempuhinya sehingga aku menjadi manusia yang kuat dan sukar untuk menyerah kalah...
Terimakasih Tuhan kerana menghadirkan insan2 terbaik di sampingku dan aku telah menjadi seorang aku yang ada hari ini kerana mereka mengajarkan aku tentang erti kehidupan yang sebenarnya....Semoga kebahagiaan yang dikecapi hari ini akan berkekalan sehingga ke akhir usia...Amin....
~Lilyirdina@1.29_25710

Friday, June 8, 2012

Tentang Dia...

Bercerita tentang dia, aku rasa macam dia masih ada. Puteraku satu-satunya. Sekadar luahan rasa, berkongsi cerita suka dan duka aku bersamanya. Untuk kenangan diriku sendiri...aku pasrah dengan takdir Illahi, meminjamkan dia seketika kepada kami untuk merasa nikmat dan bahagia... berpeluang memeluk dan memanjakan seorang anak lelaki yang kami tunggu selama ini. Walau seketika, ia sungguh bermakna.
Aku tidak berbohong tentang rasa yang ada dalam dadaku. Aku hanya manusia biasa, sedih.. perit, sebak, sakit, bermacam rasa ada dalam gelora jantungku. Aku telah kehilangan dia, selama-lamanya! Itu yang pasti. Namun aku telah sematkan dalam hatiku sekian lama, anak-anak hanya sekadar pinjaman, usia adalah masa, tiba ketika atas kehendakNya terpaksa dikembalikan. Suka atau tidak wajib kita meredhainya.
Senang lidah berbicara, benarkah hatiku redha? Ya Allah, ampuni hambamu ini kerana pernah terlebih meminta. Bukan kerana aku tidak bersyukur tetapi sekadar memohon lebihkan masa untuk terus bersamanya. Namun aku juga sedar Allah lebih menyanyanginya melebihi kasih sayangku terhadap dia. Anakku, Ammar Amzar telah dijemput Ilahi dalam usianya 4 tahun 7 bulan 28 hari... Ya Allah, aku bersyukur dikurniakan dia kepadaku. Sungguh bermakna kepada kami sekeluarga walaupun sebelumnya kami sudah memiliki 3 puteri.
Ammar Amzar nama yang ku simpan sekian lama dalam diari hati setelah satu demi satu kami menimang cahaya mata puteri. Nama itu ku pilih sendiri seawal memiliki puteri sulungku, 14 tahun yg lalu. Ku simpan kemas sehingga akhirnya 13 SEPTEMBER 2007 = 1RAMADHAN aku telah selamat melahirkan dia bersama suamiku di sisi. Walaupun sebelum ini suamiku tidak pernah berkesempatan untuk menemani ku kerana masalah teknikal dengan jururawat, namun untuk kelahiran putera kami satu2nya ini, dia ada bersama untuk terus mengazankan dia di hadapan ku disaksikan oleh para jururawat dan doktor yg menyambutnya. Alhamdulillah, percubaan kali ke empat, Allah memakbulkan doa kami untuk memiliki seorang bayi lelaki! Kasih sayang melimpah ruah, di samping kami, ada 3 kakak yang sangat menyanyanginya serta ahli keluarga kami yang lain.
Majlis cukur jambul disempurnakan di Masjid Pulau Melaka oleh TG Nik Abd Aziz Nik Mat, dalam keadaan sederhana namun penuh keberkatan. Dilaksanakan Majlis Aqiqah agak meriah dengan kehadiran sanak saudara, jauh dan dekat. Ya Allah, hati kami sangat bersyukur dengan kurniaanMu in Ya Rabbi. Dia anak yang baik, tidak menyusahkan lami walaupun se awal usia 3 bulan telah kami usung ke sana sini kerana pada ketika itu kami menyambung study di USM Pulau Pinang. Setiap hujung tahun kami sekeluarga menjadi warga kampus USM sehinggalah usianya 3 tahun 3 bulan kami berjaya menerima segulung ijazah.
Usianya yang baru setahun jagung tetapi telah kami bawa ke merata tempat kerana sememangnya kami sekeluarga pantang ada masa, kerjanya berjalan makan angin. Penang, Cameron Highland dan Langkawi adalah tempat yang kerap kami kunjungi selain Bukit Tambun Water Park dan juga Gambang Waterpark. Kami tidak pernah tinggalkan dia walaupun seketika. Tempat tidurnya adalah di sisiku sehingga dia pergi mengadap Ilahi, dia ku ulit seperti selalu. Ku dodoikan dia dengan selawat syifa' dan ku bacakan doa yang sering kami baca bersama. Namun tidurnya kali ini, tidur yang abadi dan tidak akan bangun lagi seperti hari2 sebelum ini.

(bersambung)

Friday, January 13, 2012

2012

Suka dan duka 2011 kita tinggalkan menjadi sebuah sejarah.... sedih... gembira.... suka... dan duka silih berganti dan saling melengkapi... ibarat putaran alam, ada siang dan ada malam...ada matahari dan ada bulan...

Kehidupan mesti diteruskan walau apa jua rintangan yang mendatang selagi kita sebagai insan masih diberi peluang untuk menikmati anugerah tuhan. Sebagai insan kita seharusnya sentiasa melafazkan rasa syukur kerana dilanjutkan usia untuk terus berbuat kebaikan dan mengumpulkan amalan sebagai bekalan di alam sana...

Amanah yang Allah beri harus dipegang...anak-anak adalah saham terbaik untuk dididik sebagai bekal menuju ke puncak jaya... salah asuhan meranalah hidup sepanjang usia... semoga Allah memelihara kita dan memberi hidayahNya sepanjang masa dalam meneruskan usia yang tersisa...